feedburner
Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

feedburner count

Mengapa berlakunya kelemahan terhadap umat Islam

Labels:


Sesungguhnya di antara sebab mengapa berlakunya kelemahan terhadap umat Islam adalah disebabkan antara lainnya sikap lalai pemerintah UMNO terhadap agama dan menentang cara hidup beragama yang dituntut Islam. Realiti ini jelas kelihatan pada sikap kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO dan kebanyakan rakyat yang pemikirannya dijajahinya yang telah melupakan ajaran Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW. Mereka telah bertindak berani mengambil sistem sekularisme yang memisahkan agama dengan tuntutan kehidupan dan mengambil cara hidup jahiliyah dan dijadikan sebagai panduan hidup. Mengambarkan seolah-olah apa yang terkandung di dalam ajaran Islam itu sebagai suatu sistem hidup yang tidak sesuai dengan kehendak dan keperluan zaman yang serba canggih ini.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO ini terpukau oleh kilauan palsu sistem sekularisme dan hidup jahiliyah dan mempunyai anggapan bahawa apa yang baik itu hanyalah dari barat walaupun ia bertentangan sama sekali dengan Islam. Keadaan ini wujud barangkali disebabkan mereka ini lupa terhadap pesanan Allah SWT.

Allah SWT berfirman: "Sekali-kali orang-orang Yahudi dan Nasrani itu akan redha terhadap kamu sehingga kamu mengikut cara hidup mereka". (Surah Al-Baqarah : 120).

Disebabkan sikap yang sedemikian rupa, wujud dikalangan pemimpin-pemimpin UMNO , sesetengah pengikut-pengikutnya akan perkara mungkar seperi arak, judi, zina, krisis masyarakat, krisis politik dapat dilihat. Media massa samada milik pemerintah dan milik swasta baik media cetak dan elektronik sering bertindak membelakangkan tuntutan-tuntutan agama Islam ini demi mengampu dan membenarkan munafik-munafik ini hampir setiap hari dan setiap saat.

Sebagaimana yang diketahui, Islam merupakan cara hidup paling baik dan sempurna dalam mengatur seluruh bidang kehidupan manusia. Islam amat sesuai untuk dilaksanakan dalam setiap bidang kehidupan. Manusia amat memerlukan kepada satu sistem kehidupan yang dapat mengatur kehidupan dengan baik. Jika kita kembali menyorot Al-Qur'an, jelas sekali pengakuan Allah SWT terhadap cara hidup Islam.

Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya cara hidup yang sebenarnya di sisi Allah SWT adalah cara hidup ISLAM". (Surah Al-Imran : 19).

Sistem hidup, falsafah dan fahaman walau atas nama apa sekali pun tidak diterima dan tidak diakui oleh Allah. Perlu diketahui bahawa ISLAM sahajalah yang membawa kepada cara hidup sebenarnya dan berupaya pula mengubati pelbagai masalah dan penderitaan yang dialami oleh manusia kini. Namun amat malang sekali di Malaysia ini pemimpin-pemimpin UMNO yang diamanahkan untuk menegakkan Syari'at Islamiah telah mengabaikan amanah ini, sebaliknya mereka telah menggunakan Islam sebagai topeng menegakkan perjuangan assabiyah/nasionalis Melayu dan sekaligus mendaulatkan pegangan sekularisme. Sesungguhnya mereka ini semampu mungkin tidak akan membenarkan rakyat Malaysia ini daripada menghayati cara hidup Islam. Ini kerana apabila rakyat Malaysia berbuat demikian maka cengkaman mereka terhadap usaha memerintah negara Malaysia ini akan lemah dan membawa kehancuran dan pengebumian wadah perjuangan mereka iaitu UMNO. Mereka rela umat Islam mendalami pelabagai bidang tuntutan Islam, tetapi perkara utama iaitu dalam bidang Jinayat akan sama sekali dinafikan bagi memastikan "survival" cengkaman pemerintahan mereka. Jesteru itu pemimpin-pemimpin UMNO ini lebih rela memisahkan politik dari agama.

Sesungguhnya Allah SWT yang mencipta alam ini dan maha mengetahui perihal keadaan seluruh alam ini. Ia menurunkan syari'ah Islam agar kesejahteraan dan kebahagian hidup dapat dicapai. Islam suatu sistem paling sesuai dengan kehendak dan keperluan manusia. Apa yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia ialah melaksanakan seluruh hidup dengan sistem ini sahaja.

Biar bagaimana bijak manusia sekalipun, tidak akan berupaya dan mampu mencipta suatu sistem hidup yang sesuai untuk semua manusia pada setiap masa dan zaman. Kemampuan manusia hanyalah sekadar apa yang dikurniakan oleh Allah SWT, bahkan jauh dari mengadakan peraturan hidup sendiri melalui sumber akal semata. Dapat dilihat dan dikaji tokoh-tokoh sejarah dunia yang berlagak pandai mencipta pelbagai fahaman sesat yang mana segala teori mereka bukan menjadi ubat kepada manusia malah sebaliknya. Dunia barat yang dikagumi sebagai negara maju dan mempunayi teknologi tercanggih kini sedang berhadapan dengan krisis moral dan akhlak yang begitu serius sekali.

Alfred C. Kinsey di dalam bukunya Sexual behaviour in Human Male menyebut bahawa 20 peratus dari bayi yang dilahirkan di Amerika ialah anak-anak haram hasil dari sex bebas, dan 4 peratus dari kanak-kanak itu dilahirkan oleh ibu-ibu yang belum berkahwin. Pada tahun 1978 Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bangsa-Bangsa Bersatu, telah melaporkan bahawa tiap-tiap satu dari tiga tempat tidur di hospital-hospital di negara-negara maju dipenuhi oleh orang-orang menghidap penyakit jiwa. Seoran pfofessor dari Pusat Perguruan Tinggi di Amerika (Institut Teknologi Massachussets) telah menyebut bahawa Persidangan Para Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) "...Amerika sekarang ini menghadapi salah satu dari bahaya kehancuran. Jadi kalaulah negara-negara yang belum membangun mencontohi dengan membuta tuli apa yang kami lakukan, maka merekapun akan terancam pula oleh bahaya yang kami hadapi sekarang ini". Sesunggunya benarlah apa yang difirmankan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri". (Surah Al-Thalaq : 1).

Demikian di antara beberapa gambaran tentang apa yang telah dan sedang berlaku terhadap masyarakat barat yang bertuhankan materialisme. Sistem hidup mereka sebenarnya yang menyebabkan berlaku huru-hara dan pelbagai penyakit sosial. Contoh-contoh yang diutarakan di atas adalah pada sekitar 20 tahun yang lalu. Bagaimana pula keadaannya sekarang ?. Tentunya lebih dasyat lagi. Perkara-perkara seumpama ini hendaklah menjadi pengajaran bagi pemimpin terutamanya pemimpin UMNO dan umat Islam. Allah SWT yang mencipta sistem hidup Islam telah berulang kali menerangkan di dalam Al-Qur'an langkah-langkah bagaimana mencapai keharmonian, kedamaian dan kebahagiaan hidup yang diidamkan oleh hampir setiap manusia. Jalannya ialah usaha ikhtiar merintis jalan yang telah disediakan oleh Rasullulah SAW yang menjadi juru penyelamat umat. Iaitu kembali kepada ajaran Islam yang tulin berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnahnya.

Namun, amat dikesalkan sewaktu masyarakat barat sedang menuju kehancuran terdapat semacam kekeliruan di kalangan sebahagian pemimpin dan umat Islam terhadap kemampuan Islam. Mereka berhujah bahawa suasana sekarang ini tidak sesuai lagi untuk melaksanakan Islam. Nanti akan menyebabkan pelbagai masalah dan seribu satu macam hujah yang lain...Sebahagian pendapat mengatakan bahawa hukum Syari'ah Islam tidak sesuai dilaksanakan di dalam masyarakat yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama. Apatah lagi di dalam negara seumpama Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi (dakwaan UMNO ). Kononnya tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan dari mereka yang bukan Islam. Apakah benar dakwaan tersebut. Inilah juga modal ungkapan yang sering diulang-ulangi dan dijaja oleh pemimpin-pemimpin UMNO, tanpa menyedari bahawa Islam bukan untuk orang Melayu sahaja, sebaliknya Islam merentasi batasan kaum dan melampau sempadan agama lain. Islam milik semua dan bukan untuk orang Melayu sahaja sepertimana tanggapan pemimpin dan ahli-ahli UMNO. "UMNO kuat Melayu Kuat, Melayu Kuat Islam Kuat !"... (kunun...! perasan !... maka ketahuilah bahawa kekuatan Islam tidak bergantung kepada orang Melayu yang mengambil Islam suku tu !..seperti pemimpin dan ahli UMNO.

Dilihat kepada awal penubuhan kerajaan Islam Madinah di bawah pimpinan Rasulullah SAW, Madinah merupakan suatu daerah yang di huni oleh pelbagai bangsa dan agama. Di sana terdapat penganut Yahudi dan Nasrani selain Islam. Tetapi mengapa Syari'ah Islam boleh dilaksanakan oleh Rasullulah SAW tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan dari kaum Yahudi dan Nasrani. Ini menunjukkan bahawa Islam boleh dilaksanakan di mana sahaja dan keadaan bagaimana sekalipun. Begitulah dapat kita saksikan betapa butanya pemimpin-pemimpin UMNO mengenai sejarah keagongan Islam. Melalui dalih-dalih seperti ini dapat kita baca betapa tidak adanya niat yang ikhlas dalam hati pemimpin-pemimpin UMNO untuk menegakkan negara Islam di Malaysia ini. Mereka ini mengaku sahaja Islam, tetapi lihatlah betapa Isteri dan anak-anak mereka sentiasa "mendedahkan aurat" dan tidak dapat melaksanakan seruan Allah SWT yang paling mudah ini sekalipun. Hanya jiwa yang bersifat munafik dan mempunyai pelbagai kepentingan diri seperti pemimpin-pemimpin UMNO sahaja yang cuba untuk menggagalkan usaha untuk melaksanakan Syari'ah Islam dengan pelbagai alasan yang terlalu rapuh.

Firman Allah SWT: "Dan barangsiapa yang mencari Deen (Agama) selain Islam, maka tidak diterima daripadanya dan ia di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi". (Surah Al-Imrab : 85).

Apa yang sedang menyelubungi pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO dan pemikiran umat Islam hari ini dengan pelbagai kekeliruan yang berserabut disebabkan oleh kejahilan mereka terhadap Islam itu sendiri. Benarlah apa yang disebut oleh As-Syahid Dr. Abdul Kadir Audah bahawa kelemahan umat Islam adalah disebabkan oleh kejahilan mereka terhadap Islam dan para Ulama pula diliputi oleh kelemahan. Bahkan pengaruh dan unsur-unsur jahilliyah sentiasa berkembang biak dan membesar di dalam masyarakat dan terus menerus menyebarkan fahaman yang bersifat kebendaan dan menurut hawa nafsu. Pengaruh seumpama ini berjaya menarik sebahagian besar umat Islam yang lemah imannya. Akibat dari itu mereka sendiri bertindak menjadi penentang terhadap Islam dan perjuangan mendaulatkan hukum Allah SWT. Apa yang diharapkan semuga sogokan kebendaan dan materialistik yang diberikan dan dilambakkan oleh pemerintah UMNO /Barisan Nasional di DUN Lunas, ini tidak menghakiskan keyakinan umat Islam tentang tuntutan Islam. Sebaliknya pengundi-pengundi di DUN Lunas ini perlulah menolak sogokan-sogokan ini dengan menafikan kemenangan calun yang didatangkan dari MIC iaitu sekutu UMNO.

Ada keterangan menyebut bahawa Rasullulah SAW pernah menyebut bahawa "...apabila umatku hanya mementingkan kepentingan dunia semata-mata, luputlah hati mereka dari mencintai Islam. Apabila mereka tidak mendakwahkan kebenaran, hilanglah mereka dari rahmat Allah SWT dan apabila mereka berbalah di antara satu sama lain, mereka tidak akan dipandang oleh Allah".

Oleh itu perlulah disedari bahawa punca kelemahan pemimpin-pemimpin dan umat Islam adalah disebabkan sikap lalai dan jahil terhadap agama mereka. Usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat perlu dibuat untuk menyedarkan kembali umat Islam, terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO yang telah terlalai oleh pukauan dan mimpi-mimpi jahilliyah yang menyerang selama ini. Keimanan yang benar perlu ditanam ke dalam jiwa umat ini agar lahir peribadi muslim yang berjiwa Islam dan sanggup berkorban demi kemuliaan Islam.

Firman Allah SWT: "Barangsiapa yang mencari cara hidup selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia di akhirat nanti termasuk orang-orang yang rugi". (Surah Al-Imran : 85).

Firman Allah SWT: "Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah sempurnakan untukmu nimatKu dan Aku redha Islam sebagai cara hidup kamu". (Surah Al-Ma'idah : 3).





0 comments:

Post a Comment